Alhamdulillah, kami direzekikan utk mengembara ke Manila, ibu negara Filipina. Kami merantau bersama 4 keluarga lain dan mengambil ejen pelancongan utk menguruskan aktiviti2 kami.
Kerana kos yg kami bayar agak mahal, kami diberi banyak kemudahan dari mula kami sampai seperti airport transfer, bas utk membawa kami melancong, makanan halal yg mahal, dan beberapa staff tour guide yg setia mengikuti kami sepanjang kami di sana.
Kami tinggal di Makati City, pusat bandaraya Manila dan menetap di hotel Best Western Antel, betul2 depan A.Venue market di Makati Avenue. Jadi setiap malam, kami akan turun membeli belah dan mencuba makanan2 di pasar tersebut. Jarak dari situ ke Ayala Center pula dalam 2 km. Jadi, utk ke sana, boleh menaiki teksi atau berjalan kaki lebih kurang 30 minit dan melalui pelbagai tempat menarik seperti Ayala Triangle Park, Tugu Sultan Kudarat, dsb. Kami ke Ayala Center berjalan kaki dan mengambil gambar sepanjang jalan, tapi balik ke hotel menaiki teksi.
Taal Volcano
Pada hari kedua kami di Filipina, kami semua ke Taal Volcano yg terletak di provinsi Batangas, dgn menaiki bas, dan mengambil masa perjalanan lebih sejam setengah.
Gunung berapi Taal merupakan gunung berapi aktif terkecil di dunia. Kali terakhir ia meletus adalah pada 1977. Kawahnya kini menjadi sebuah tasik, tetapi airnya dilaporkan mempunyai kandungan sulfur yang tinggi. Kedudukannya yang membentuk tasik atas sebuah pulau di tengah sebuah tasik, di atas pulau Luzon menjadikannya unik dan destinasi pelancongan. Terdapat penduduk tempatan yang tinggal di pulau tersebut yang rata2nya bekerja sebagai nelayan atau pemandu pelancong.
Untuk ke pulau gunung berapi tersebut, kami perlu menaiki bot merentas tasik Taal. Dari pesisir pantai, kami perlu mendaki setinggi 300m untuk tiba ke puncak gunung berapi. Kami menaiki kuda kecil yang disediakan. Setiap seorang kami menaiki seekor kuda. Saya menaiki kuda bersama anak lelaki saya. Kuda pula akan dipimpin oleh seorang pemandu pelancong tempatan untuk mendaki. Perjalanan ke atas mengambil masa 40 minit.
Di puncak gunung berapi, kami dapat saksikan sendiri satu bencana alam yang berubah menjadi keindahan. Tasik kawahnya yang tenang bagai menyembunyikan banyak tenaga potensi yang bisa meluap bila2. Dari puncak tersebut juga kami dapat saksikan sendiri keunikan kawah gunung berapi Taal sebagai tasik di atas pulau di atas tasik di atas pulau. Subhanallah, tiada kata yang boleh mengungkapkan perasaan kagum kami melainkan ucapan tasbih memuji Tuhan.
Kami mengambil masa di puncak untuk menghayati detik itu & bergambar beramai2 sebagai kenangan. Seterusnya kami menuruni bukit tersebut menaiki kuda dan kemudian menaiki bot semula ke tanah besar Batangas. Di sana terdapat kedai untuk membeli cenderahati sebagai kenangan.
Menelusuri Manila
Manila & Pulau Luzon padat dengan sejarah penjajahan Kristian barat yang banyak membentuk lanskap masyarakat utara Filipina hari ini. Alhamdulillah, selatan Filipina, iaitu Mindanao masih kekal dalam identiti Islam. Kami mengambil masa sehari untuk melihat tinggalan2 penjajahan barat di Manila.
Kami mula2 ke Tugu peringatan Jose Rizal, pejuang yang menyatu dan membangkitkan rakyat Filipina untuk menuntut kemerdekaan dari Sepanyol buat kepulauan ini. Beliau dilaporkan dihukum tembak mati di taman Rizal itu sendiri di mana berdirinya tugu peringatan beliau. Kami dikisahkan dengan lebih lanjut oleh tourguide kami yg tua dan berpengalaman, En. Jun, mengenai perjuangan Rizal. Saya simpulkan Jose Rizal ibarat Gandhi bagi Filipina.
Kami selanjutnya ke Intramuros, bandar lama di mana banyak bangunan tinggalan penjajahan Sepanyol masih terpelihara. Kami ke sebuah muzium yang diberi nama Casa Manila. Ia merupakan muzium yang memaparkan cara hidup golongan penjajah atau golongan kaya di zaman penjajahan Sepanyol. Segala rekabentuk rumah, perabot & perkakasan Sepanyol masih terpelihara di situ.
Kami selanjutnya ke Fort Santiago, yang merupakan tinggalan dari kubu (citadel) kota Intramuros Manila. Kubu tersebut juga menempatkan penjara yang telah menyaksikan Jose Rizal ditahan. Kami berjalan menelusuri kompleks tersebut dan membayangkan betapa kukuhnya pertahanan kota jajahan Sepanyol itu.
Kami seterunya ke Quiapo, di mana terletaknya sebuah perkampungan orang Islam, masjid terbesar di Manila dan pejabat presiden Jawatankuasa Kebangsaan Muslim Filipina. Kami berjalan menelusuri perkampungan dan kedai2 orang Islam dan bersyukur masih terdapat ramai penduduk Islam di bumi Manila ini. Kami seterusnya bertandang ke Masjid Emas Manila untuk solat serta bermesra dengan penduduk tempatan. Masjid yang tersergam indah menjadi tempat ramai penduduk meluangkan masa dan anak2 bermain.
Membeli-Belah
Kami membeli belah di Greenhills Shopping Mall, tempatnya moden dan mempunyai kemudahan seperti pusat membeli belah moden. Dalamnya pula seperti pasar Ben Thanh di mana segala macam barang ada dijual dan kita boleh tawar menawar untuk mendapat harga terbaik. Di sini kami membeli pakaian, cenderahati Filipina, barang mainan dan macam2 lagi. Mutiara Filipina juga ada dijual di sini. Selain itu, barang2 IT, handphone & kamera juga dijual di tingkat atas. Menariknya, lebih kurang 80% peniaga barangan IT adalah orang Islam. Alhamdulillah.. Nampaknya org Islam telah ramai menceburi perniagaan IT di sana dan berniaga di tempat paling strategik di Manila. Saya membeli monopod di sana. Hehe..
Selain itu, kami berjalan kaki ke Ayala Center untuk membeli belah dan melihat sendiri keunikan kawasan yang terkenal itu. Di sana terdapat rantaian kompleks membeli belah yang banyak yang menempatkan beribu-ribu kedai. Tapi rata-ratanya menjual barang berjenama, mahal dan harga tetap. Namun, kami masih membeli beberapa barang yang kami temui dengan harga murah berbanding di tempat lain.
Di sekeliling Manila juga terdapat pusat membeli belah SM yang juga merupakan tempat membeli belah terkenal dikalangan penduduk tempatan. Namun kami tak berkesempatan untuk berkunjung ke sana kerana telah cukup membeli cenderahati Filipina.
Kami meninggalkan Filipina selepas 4 hari di sana. Kami berpuas hati dengan pengembaraan ini walaupun banyak lagi tempat kami tak sempat kunjung. Adakah kami akan kembali lagi? Allahualam..
Salam..boleh sy tau travel agency yg encik gunakan?
Intas Destination Management Inc.
http://www.intas-travel.com/
Phone: +63 2 772 3312
assmualaikum…boleh tahu no telp tour guide encik…tks
Saya guna Intas travel http://www.intastravel.com/contact.html