InsyaAllah, anak ke-4 ini saya akan namakan sempena nama tokoh-tokoh Islam yg telah meninggalkan legasi mereka tersendiri dalam peradaban manusia.
Anak saya ini saya namakan Abbas, pertamanya sempena sahabat Rasulullah SAW, Al-Abbas b Abdul Mutalib, yang juga merupakan bapa saudara baginda. Abbas merupakan sahabat yg terkenal sebagai seorang yang banyak membela Nabi SAW ketika di Makkah, dan kemudian banyak mengirimkan informasi mengenai musyrikin Makkah kepada Nabi di Madinah. Beliau seorang yang sangat rapat, disayangi, dihormati dan dipercayai oleh Rasulullah SAW sendiri. Beliau antara saksi dan penasihat Rasulullah dalam Bai’atul Aqabah dengan Ansar dari Yathrib. Hakikat sebenar Al-Abbas memeluk Islam tidak diketahui Muslimin, sehingga sebelum Fathul Makkah, dan beliau antara yang membantu Muslimin untuk memerdekakan Makkah. Beliau kemudian menjadi wira perang Hunain sebagai orang yang setia di sisi Nabi dan penyatu saf Muslimin di kala musuh menyerang hendap. Demikianlah Abbas seorang sahabat yang besar impak sumbangannya, berjuang dalam sembunyi mahupun terang-terangan dengan caranya tersendiri. Beliau juga mendapat julukan dari Nabi sebagai Muhajirin yang terakhir dan digelar para sahabat RA sebagai penyedia air Haramain.
Al-Abbas juga merupakan bapa kepada Abdullah ibnu Abbas yg merupakan sahabat dan perawi hadis tersohor, yang digelar Ulama’ kepada ummat ini. Isteri Abbas, Ummu Al-Fadl, merupakan wanita kedua memeluk Islam selepas Khadijah RA. Keturunan Abbas ini telah diberkati dengan melahirkan raja-raja dunia dan dinasabkan kepada nama beliau akan dinasti tersebut, yakni Bani Abbasiyyah, yang mana pada era tersebut, empayar, tamadun dan keilmuan Islam mencapai kemuncak kegemilangannya.
Di samping itu, saya juga memberi nama anak ini sempena seorang lagi tokoh bernama Abbas. Beliau yang juga dari keturunan Bani Abbasiyyah merupakan Khalifah Abbasiyyah yang ke-8 (833-842 AD), dikenali sebagai Abu Ishaq, Abbas Al-Mu’tasim Billah. Al-Mu’tasim merupakan nama gelaran beliau yang membawa maksud yang berpegang teguh. Beliau merupakan anak kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid yang terkenal sebagai pemerintah zaman keemasan empayar Abbasiyah. Mu’tasim merupakan seorang panglima tentera sebelum dilantik menjadi Khalifah dan dibawah kepimpinannya telah diperkukuhkan bala tentera Islam.
Salah satu kisah masyhur yg terakam dalam sejarah adalah penaklukan Mu’tasim ke atas Amorium, sebuah kota penting Byzantium di Anatolia. Dalam penulisan ibn Athir, dicatatkan kempen ini dilancarkan apabila apabila seorang muslimah Arab telah ditangkap dan dipenjara serta auratnya dihina oleh tentera Rom. Wanita itu lantas berteriak memanggil “Wa Mu’tasimah (Oh, Mu’tasim, tolonglah aku)”, lalu berita ini sampai kepada Khalifah. Mu’tasim pun menyiapkan berpuluh ribu tenteranya dari Samarra’ dan beliau sendiri telah memimpin tenteranya untuk mengepung, menyerbu dan akhirnya membebaskan kota Amuriyah dari pegangan Byzantine, sekaligus membela maruah wanita Muslimah seorang itu yang dihina. Beliau sebenarnya merancang meneruskan lagi kempennya ke Constantinople, namun terhalang kerana terpaksa pulang untuk menguruskan isu dalaman umat Islam. Begitulah seorang pemimpin yang sensitif, tegas dan heroik yang boleh diteladani sepanjang zaman.
Demikian antara kisah dan sumbangan dua ikon hebat bernama Abbas ini. Maka mengambil inspirasi ketokohan mereka, saya mengurniakan nama buat anak saya yang ke-empat ini: Abbas Mu’tasim ( عباس المعتصم ). Semoga dia juga menjadi seorang yang berjuang dan berpegang teguh dengan agama tak kira apa keadaan, peka dan bangkit membela nasib umat, serta mencipta legasinya tersendiri dalam sejarah.
Source:
Men Around The Messenger, Khalid Muhammad Khalid.
http://ikimfm.my/…/dimanakah-al-mutassim-untuk-bela-warga-…/
http://www.happy-books.co.uk/…/family-tree-diagram-of-linea…