Istanbul: Menjiwai Perjuangan & Kegemilangan Sejarah Islam

_DSC2975
Di Masjid Biru / Sultan Ahmed

Alhamdulillah. Pada Februari 2013, kami sekeluarga berkesempatan melawat ke Istanbul, Turki. Memandangkan bulan Februari merupakan musim sejuk dan kami membawa anak2 kecil, kami menghabiskan seminggu penuh di kota bersejarah tersebut, meneroka mengikut pace kami sendiri. Itupun, kami tak dapat cover semua tempat, kerana tak sempat. Kami menetap di daerah Fatih, daerah tertumpunya banyak tarikan. Selama 3 malam kami tinggal di sekitar Gedik Pasa, jalan yg penuh dgn tempat makanan tempatan & makanan segera barat, jalan tersebut betul2 terletak di seberang Grand Bazaar, dan berhampiran stesen Beyazid. Walaupun terdapat banyak stesen tram, kami mengambil keputusan untuk lebih banyak berjalan kaki, terutama kalau setakat berjalan dari Sultan Ahmet ke Gedik Pasa, atau dari Grand Bazar ke Masjid Sultan Sulaiman Al-Qanuni & makam Mimar Sinan. 4 malam berikutnya kami bermalam di Sultan Ahmet di sekitar Kucuk Aya Sofia. Tetap perlu berjalan dalam 10 minit untuk ke tram Sultan Ahmet. Dari situ kami mengembara ke serata kota Istanbul.

Istanbul, atau nama lamanya Constantinople, merupakan bekas ibu kota kerajaan Rom Timur Byzantine, sebelum dibuka pada 1453 oleh Sultan Mehmet II & tenteranya dalam merealizasikan impian agung Rasulullah SAW: “Constantinople akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukkannya adalah sebaik-baik pemimpin dan tentera yang berada di bawahnya adalah sebaik-baik tentera.” (H.R. Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335)

_DSC3865
Tinggalan tembok pertahanan Constantinople

Di sekitar Istanbul, kita boleh melihat tinggalan tembok-tembok kebal yang melambatkan penaklukan Islam dari zaman para sahabat RA sehingga era Sultan Mehmet II. Tinggalan2 empayar Rom seperti Hippodrome & Obelisk of Theodosius masih berdiri di hadapan Masjid Sultan Ahmet. Sesudah pembukaannya, Istanbul kemudian menjadi pusat pemerintahan & ibukota Khilafah Turki Uthmaniyyah sehingga Khalifah Islam terakhir. Kota ini lantas sarat dengan pengalaman dari sudut perjuangan agama, ketenteraan, pembangunan, kesenian, dan budaya. Saya yang amat meminati sejarah Islam merasakan masih segar kisah2 tinggalan sejarahnya & utuh berdiri bangunan2 kota lama ini, walaupun sudah berusia beratus-ratus tahun. Saya mencadangkan, sebelum melawat Istanbul, ambillah masa untuk membaca dan mengkaji perihal tokoh, kisah, dan sumbangan tokoh2 berkenaan untuk menghayati dan lebih rasa hidup apabila berada di tapak2 bersejarah ini. Saya cadangkan pengunjung sekurang-kurangnya mengkaji sedalam2nya topik berikut:

1) Pembukaan Constantinople oleh Sultan Muhammad II Al-Fatih, dan riwayat hidup baginda
2) Kemuncak kegemilangan Uthmaniyah semasa Sultan Sulaiman Al-Qanuni (Sulaiman The Magnificent)
3) Kejatuhan kerajaan Uthmaniyah dan penghapusan Khilafah Islam.
4) Kisah Abu Ayub Al-Ansari, sahabat tumpangan Rasulullah di Yathrib.

Masjid Simbol Keagungan Turki Uthmaniyah

Terdapat lebih 3000 masjid di Istanbul, yang banyaknya selain sebagai rumah ibadat turut menjadi simbol atau memorial pemerintahan atau ketokohan seseorang pemimpin Islam di zaman Uthmaniyah. Antara masjid terkenal yang telah kami ziarahi adalah Masjid Sultan Ahmet (Masjid Biru), Aya Sophia, Masjid Sulaiman Al-Qanuni, Masjid Al-Fatih, Masjid Yeni, Masjid Eyup Sultan (Makam Abu Ayub) dsb.

_DSC3083
Keluarga berlatar belakang Aya Sophia

Dua masjid agung yang terletak berhampiran adalah Masjid Sultan Ahmet dan Aya Sofia. Masjid Sultan Ahmet atau Masjid Biru merupakan Masjid paling terkenal di Istanbul dan menjadi lambang kemuncak arkitektur dan kesenian empayar Uthmaniyah. Ianya direkabentuk oleh Mehmed Agha, anak murid Mimar Sinan, arkitek agung Uthmaniyah. Rekabentuknya mewarisi konsep rekabentuk Sinan dan fusion dengan rekabentuk Byzantium Aya Sofia untuk menghasilkan Masjid yang tersergam besar dan majestik. Berhampiran Masjid Biru adalah Aya Sofia, masjid pertama Uthmaniyah di Istanbul, yang merupakan simbol penawanan Constantinople dari Byzantine. Ia asalnya merupakan gereja terbesar zaman Byzantium sebelum ditukar menjadi masjid oleh Sultan Muhammad Al-Fatih. Di dalamnya masih terdapat kesan-kesan tinggalan Kristian yang tidak dipadamkan.

_DSC4465
Makam Muhammad Al-Fatih

Masjid-masjid lain disekitar Istanbul banyak direkabentuk dengan konsep Uthmaniyah yang tidak jauh beza, namun setiap satunya membawa pengalaman dan sejarah tersendiri. Masjid Al-Fatih membawa emosi yang paling menusuk bagi saya, apabila berpeluang melihat sendiri Makam Sultan Muhammad Al-Fatih, komander terbaik sepanjang zaman. Alhamdulillah, saya turut berpeluang Solat Jumaat di Masjid Al-Fatih.

Legasi Kesultanan di Tebing Bosphorus

bosphorus-halic
Di mana Halic bertemu Bosphorus

Selat Bosphorus merupakan pemisah antara Istanbul Eropah & Asia. Kota lama Istanbul adalah di sebelah Eropah, manakala bandaraya moden adalah di sebelah Asia. Di sepanjang selat inilah tentera Al-Fatih berlayar menuju ke Constantinople dan di selat inilah tentera Byzantium memasang rantai besar menghalang kapal masuk ke kawasan kota. Lalu di sinilah Sultan Mehmed melakukan manoeuvre perang terhebatnya dengan membawa kapal keluar dari selat, menaiki dan menuruni bukit ke Golden Horn. Kami berkesempatan menaiki kapal feri menelusuri Selat Bosphorus dari muara Golden Horn (Halic) jauh sehingga ke Jambatan Sultan Muhammad Al-Fatih. Kami juga berkesempatan naik ke menara Galata, yang dulu menjadi menara kawalan, yang menjadi tempat mendapat pemandangan indah kota Istanbul, Golden Horn & Selat Bosphorus. Kembali ke Sultan Ahmet. Di Tebing Bosphorus, berdekatan Aya Sofia, terletak Istana Topkapi yang kini menjadi muzium Islam. Muzium ini memuatkan banyak tinggalan sejarah Islam dari zaman Rasulullah sehingga Khilafah Uthmaniyah. Di sini disimpan pedang-pedang para sahabat, helaian rambut Rasulullah, jubah pakaian zaman para Sahabat, dan macam-macam artifak dari zaman awal Islam. Namun pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar atau video. Di muzium ini juga dipamerkan senjata-senjata dan pakaian perang serta peralatan-peralatan dan perkakasan istana di zaman khilafah Uthmaniyah. Selain itu, di sini juga terdapat pameran kesenian Turki.

_DSC3576
Di hadapan Istana Dolmabahce

Istana Dolmabahce di Besiktas di tebing Bosphorus ini merupakan istana terakhir empayar Turki Uthmaniyah sehingga khilafah dimansuhkan dan diganti dengan sistem republik oleh Mustafa Kamal Ataturk. Ataturk melaksanakan pemerintahannya dari istana ini juga dan beliau mati dalam istana ini. Kini menjadi muzium, pengunjung Istana Dolmabahce akan dibawa melawat setiap ruang dan bilik dalam istana dan diberi penerangan mengenai setiap tempat yang dilawati. Kita dapat melihat penyusunan bilik dalam istana, bilik tidur Khalifah, ruang pejabat dan mesyuarat, ruang tetamu kehormat dan macam2 lagi.

_DSC4056
Anak-anak saya di Pierre Loti

Makam Para Sahabat

Terdapat satu daerah diberi nama Eyup Sultan, di mana terletaknya Masjid Eyup & Makam Abu Ayyub Al-Ansari, sahabat Rasulullah yang meninggal di Constantinople dalam satu usaha penawanan oleh kerajaan Umayyah. Kami ke sana menaiki bas dari Eminonu. Di Eyup Sultan, kami naik ke Bukit Pierre Loti yang terkenal sebagai tempat pelancongan dengan menaiki kereta kabel dan kemudian menikmati pemandangan Istanbul dari atas bukit. Di sepanjang lereng bukit tersebut, bertempatnya kubur orang Islam yang sangat banyak, kerana mereka ingin dikebumikan di sisi sahabat agung RA. Di bawah bukit terdapat Masjid Eyup yang di dalamnya terletak Makam Abu Ayub Al-Ansari.  Keadaan di masjid tersebut penuh sesak dengan pengunjung yang ingin mengintai makam beliau dan mendoakan beliau. Selain Makam Abu Ayub, terdapat beberapa makam sahabat2 lain di Istanbul. Antaranya Abu Said Al-Khudri, Kaab RA, Jabir RA, dan ramai lagi. Saya sempat menziarahi beberapa makam sahabat di sekitar Wall of Heraclius, di daerah Eyup Sultan.

20130216_172703
Grand Bazaar

Beli-Belah & Makanan Turkish

Grand Bazaar merupakan antara gedung beli belah terbesar dan tertua di dunia dan menjadi destinasi wajib di Istanbul. Kami membeli belah souvenir & pakaian dan sekadar window shopping karpet Turki. Tempat tersebut tersangatlah luas dan sibuk sehingga kami boleh sesat dan susah kembali ke jalan yang sama. Selain Grand Bazaar, Egypt Spice Market berhampiran Masjid Yeni dan sekitarnya menjadi destinasi membeli belah juga. Di sini kami membeli pelbagai jenis makanan untuk dibawa pulang terutama kacang, baklava dan rempah ratus.

20130221_195250
Hidangan makanan Turkish

Makanan Turki yang pelbagai menjadi satu kemestian untuk diterokai. Dari pastry, pasta & pizza, salad & yogurt, daging, ayam, kofte, kebab & nasi. Jalan Gedik Pasha di hadapan Grand Bazaar menawarkan banyak restoran tempatan untuk dicuba. Cuma kami dapati di luar Sultan Ahmet seperti di kawasan Masjid Al-Fatih, harga makanan jauh lebih murah. Berikut satu web yang boleh dilayari untuk mendapat gambaran tentang makanan Turki: http://www.turkishfoodandrecipes.com/ Kami pulang dari Turki membawa baklava, pelbagai jenis kacang, macam-macam jenis keju, pepperoni dan pelbagai rempah ratus. Pengembaraan Istanbul turut menjadi penerokaan gastronomikal.

Pengembaraan “Leisure” tetapi “Inspiring”

Setelah seminggu menjelajah sekitar Istanbul, kami berangkat kembali ke realiti hidup kami dengan semangat, keterbukaan dan penghayatan baru tentang kehidupan. Bagaimana insan-insan biasa dapat melakukan perkara-perkara luar biasa? Disinilah perlunya keazaman dan visi yang jauh tentang legasi yang ingin kita tinggalkan. Istanbul, kota bersejarah, berdiri sebagai saksi akan generasi-generasi awal yang bercita-cita tinggi.

AyaSofia
Kami sekeluarga di dalam Aya Sofia

Galeri foto:

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s