Sempena hari ke-7 kelahiran anak lelaki saya, sebagaimana sunnah, saya akan mengurniakan nama buatnya.
Kali ini saya ingin memetik nama dari satu golongan awal yang memeluk Islam, yang telah melalui banyak kepayahan dalam mempertahankan iman dan agama mereka. Mereka walaupun lemah dan terhina dalam kehidupan dunia, tapi Islam telah mengangkat mereka menjadi manusia yang berjiwa merdeka dan dimuliakan disisi agama. Golongan yang saya maksudkan adalah para sahabat Rasulullah dari kalangan hamba. Antara contoh nama yang masyhur adalah Bilal bin Rabah, Khabbab bin Al-Arat, Sumayyah dan Zinnirah.
Merujuk kepada sirah, saya memberi nama anak ini sempena seorang sahabat bernama Aflah bin Yasar atau juga dikenali sebagai Abu Fakih. Beliau merupakan salah seorang hamba yang memeluk Islam di peringkat awal kedatangan Islam.
Abu Fakih merupakan hamba Bani Abdul Dar di bawah jagaan Safwan bin Umaiyyah. Selepas diketahui keIslamannya, beliau sering diseksa dan diminta meninggalkan agama Islam dan menyembah berhala. Namun, beliau tetap teguh pendirian untuk berpegang dengan Islam, agama yang diimaninya. Beliau sering dibelenggu dan dibaringkan tanpa pakaian pada tengah hari di atas padang pasir yang panas serta diletakkan batu besar di atas dadanya atau belakangnya. Beliau juga pernah diheret di Kota Makkah dengan kaki dan leher terikat sehingga beliau separuh mati. Orang yang akhirnya menebus dan membebaskan beliau adalah Abu Bakr R.A.
Beliau antara segelintir para sahabat yang terpaksa berhijrah ke Habsyah demi menyelamatkan maruah dan keimanan.
Kisah hidup Abu Fakih sebagai muhajir juga kebetulan bertepatan dengan hidup saya dan keluarga saya yang kebelakangan ini terpaksa banyak berhijrah demi mencari dan memaksimakan nilai diri. Saya juga berharap perpindahan-perpindahan saya ini menjadikan saya seorang yang lebih baik dan dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Kehadapan dunia, saya persembahkan anak ini sebagai simbol penghijrahan saya. Saya namakan anak ini: أفلح المهاجر – Aflah Muhajir.
Aflah juga bermaksud paling berjaya yang tentunya merupakan doa dan harapan saya terhadap anak ini. Semoga anak ini menjadi peringatan buat saya untuk sentiasa bersyukur kepada Allah SWT. Semoga anak ini membesar menjadi anak yang soleh, hamba Allah berjiwa merdeka, serta menghayati dan menghidupkan segala makna namanya.
-Abu Muhajir-
Ho Chi Minh City
Beberapa Rujukan:
1) The Sealed Nectar – Safiur-Rahman Mubarakfuri
2) When The Moon Split – Safiur-Rahman Mubarakfuri
3) Abu Fakih, Aflah bin Yasarhttp://muslimscholars.info/manage.php?submit=scholar&ID=267
4) Hamba-hamba yang dibebaskan oleh Abu Bakrhttp://www.alim.org/library/biography/khalifa/content/KAB/2/1
5) Tarbiyyatul Aulad – Abdullah Nasih Ulwan
6) Menamakan anak atau hamba dengan nama kurniaan-kurniaan Allah – http://seekersguidance.org/ans-blog/2011/09/29/is-it-permissible-to-name-ones-daughter-barakah/
Related links:
1) Kakak https://addinkhalid.wordpress.com/2008/01/07/bidadari-besi/
2) Abang Atiq https://addinkhalid.wordpress.com/2010/06/29/nama-ibn-aizuddin-inspirasi-dari-abu-bakr-r-a/