Travelog Tarbawi: Iktibar Semangat Kemboja dan Vietnam

Gambar di Phnom PenhKesempatan menjengah bumi Kemboja dan Vietnam merupakan satu rahmat terindah daripada Allah buat kami sekeluarga. Pengalaman menyelusuri negara orang semangnya menjanjikan 1001 kenangan dan pengajaran yang pastinya tidak dapat dilupakan. Disamping mengagumi ciptaan Allah yang penuh dengan kepelbagaian, nikmat ukhuwah juga jelas terasa apabila berpeluang bertemu dengan sahabat-sahabat seagama. Manisnya cukup terasa pada ikatan aqidah yang terjalin walaupun perbezaan suasana dan budaya kehidupan jelas ketara.

Siem Reap, Kemboja

Permusafiran ke Siem Reap, Kemboja telah mempertemukan kami dengan Ustaz Haji Musa di Kampung Melayu Cham yang menjadi salah satu pilihan persinggahan kami di sana. Ustaz Musa merupakan imam di sebuah masjid utama di Siem Reap, Masjid An-Nikmah. Ternyata, individu yang telah ditakdirkan Allah akan pertemuannya dengan kami ini bukanlah calang-calang orang. Beliau yang memiliki sebuah restoran di sebelah masjid tersebut juga merupakan pemimpin kampung dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di situ.

Masa yang diluangkan bersamanya ternyata tidak sia-sia. Kehadiran kami disambut mesra oleh Ustaz Musa dan teman-temannya. Duduk-duduk di kerusi malas bersama beliau dan teman-temannya turut menjadi salah satu aktiviti kami ketika di sana. Namun, jurang bahasa menjadi penghalang. Bahasa Melayu Cham yang punya keunikannya sendiri ternyata tidak langsung dapat kami fahami. Walaubagaimanapun, Ustaz Musa fasih berbahasa Melayu dengan dialek Malaysia.

Menjawab persoalan yang timbul dalam benak kami saat mendengar fasihnya beliau berbahasa Melayu Malaysia, beliau menerangkan bahawa beliau perlu mempelajari bahasa Melayu apabila mendalami agama Islam. Kebanyakan kitab-kitab yang dimilikinya ditulis dalam bahasa Melayu. Untuk menambah kepakaran, beliau berkesempatan juga mempelajari bahasa Melayu di Malaysia selama 6 bulan.

Setelah sekian lama bergelumang dalam kerja dakwah bersama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Malaysia, kami berasa teruja untuk bertanyakan perihal pemuda-pemuda Islam di Siem Reap. Ternyata, tidak cukup dengan terpegun pada kebolehannya dalam berbahasa Melayu Malaysia, kami turut senang dengan keterbukaan beliau yang tidak lokek berkongsikan kisah pemuda-pemuda Muslim Siem Reap untuk dijadikan teladan dan iktibar.

Tanpa berselindung, Ustaz Musa menyatakan bahawa secara umumnya, nasib pemuda-pemuda Cham agak merisaukan. Dari sudut pendidikan, majoritinya hanya sekadar mampu menghabiskan pengajian setakat sekolah menengah. Punca-puncanya jelas. Ibu bapa Muslim di Siem Reap kebanyakannya tidak menyarankan anak-anak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. Cukup sekadar pandai membaca dan mengira hutang seperti mereka.

Yuran universiti di Siem Reap ternyata murah, kira-kira USD1500 setahun. Biarpun begitu, belajar di universiti tetap tidak menjadi pilihan para pemuda di situ. Barangkali, mereka tetap tidak mampu menanggung bayarannya, walaupun murah berbanding bayaran pengajian di negara-negara lain. Ternyata, kesempitan hidup seakan berjaya melenyapkan budaya mementingkan ilmu, diganti dengan budaya merasa cukup dan selesa dengan putaran kehidupan sedia ada.

Prihatin dengan masalah ini, Ustaz Musa memimpin komuniti kampung dan masjid dalam memulakan program tajaan biasiswa ke kelas Bahasa Inggeris dengan bayaran USD150 untuk seorang pelajar, dengan pengajian selama 45jam. Keprihatinannya pada masayrakat terbukti lagi apabila ustaz Musa bukan sahaja mengendali projek tajaan pengajian, tetapi turut mengendali aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat lain.

Aktiviti ekonomi di Seam Reap didominasi oleh aktiviti-aktiviti sektor pelancongan. Justeru, sektor pelancongan menjadi pilihan sumber pendapatan rata-rata penduduk Kampung Melayu Cham. Ustaz Musa sendiri tidak terkecuali. Beliau memang banyak menguruskan rombongan-rombongan ke Siem Reap. Penuh dengan pengalaman, beliau pernah menguruskan pebagai jenis rombongan, bermula dengan rombongan-rombongan berbajet besar, sehinggalah rombongan-rombongan pelajar dengan bajet kecil.

Vietnam

Di Vietnam, penduduk beragama Islam berjumlah lebih 60,000 orang. Majoritinya berbangsa Melayu Cham. Rata-rata penduduk berbangsa Melayu Cham ini tinggal di dalam perkampungan-perkampungan di luar bandar. Setiap perkampungan mempunyai kira-kira 70 keluarga.

Penduduk beragama Islam rata-ratanya terlibat dalam sektor ekonomi sara diri untuk menyara hidup mereka. Kebanyakan mereka merupakan nelayan, pesawah, petani, peniaga kain dan pekerja kilang. Struktur taburan kerjaya ini melibatkan semua peringkat umur, dari yang muda sehinggalah yang tua.

Di sana, kami bertemu pula dengan Hj Abdul Azim, imam masjid di Dong Du Street, sebuah masjid utama di sana. Mengambil kesempatan saat bertemu orang muda, ustaz Azim tidak melepaskan peluang untuk melampirkan nasihat berguna buat dijadikan iktibar para pemuda seperti kami. Nasihatnya dilampirkan halus dalam penceritaannya tentang beberapa permasalahan yang dihadapi di sana.

Beliau menyatakan bahawa masyarakat Melayu Cham hidup dengan stigma ‘ingin cepat kaya’, “mahu kerja tiga hari untuk saraan kehidupan sebulan”, ujarnya.Stigma ini menimbulkan masalah apabila, dengannya para penduduk seakan hanya ingin bergantung kepada sumbangan orang luar. Ianya jelas terbukti apabila dikatakan bahawa masjid-masjid di sana dibina oleh orang luar, termasuklah Masjid Dong Du yang disumbangkan oleh orang India. Kesempitan hidup mereka ini akhirnya menarik orang luar datang memberi derma dan menjalankan ibadah korban di sana di samping membantu sektor ekonomi mereka.

Ternyata, dengan stigma ‘ingin cepat kaya ’ini juga, aktiviti ekonomi kelihatan mendominasi budaya kehidupan masyarakat di sana. Oleh yang demikian, aspek pendidikan tidak berapa diambil endah, termasuklah pendidikan agama. Walaubagaimanapun, kami cukup tertarik apabila mengetahui bahawa pengajian agama di sana menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium perantaraan.

Pertemuan dengan ustaz Azim dan ustaz Musa membuatkan kami sedar bahawa masyarakat Melayu Cham sebenarnya bukanlah memerlukan sumbangan material, tetapi sumbangan ilmu, pendidikan, aspirasi dan motivasi daripada semua pihak, tidak kiralah daripada masyarakatnya sendiri ataupun daripada masyarakat luar. Para pemuda di sana terutamanya, seharusnya diberikan pendedahan untuk berkongsi aspirasi dengan pemuda-pemuda yang berjaya, berwawasan dan bercita-cita tinggi dalam mebangunkan bangsa mereka sendiri.

Kehidupan bukanlah sesuatu yang harus kita jalani tanpa erti, tetapi perjalanan yang harus dihidupkan dengan langkah-langkah terhebat

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s