Alhamdulillahi rabbil alamin. Solaatu wa as-Salam ‘ala Rasulillah.
Hadirin Hadirat yang dikasihi sekalian,
Uhayyikum bitahiyyatil Islam, tahiyyatan mubarakatan min indillah..
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saudara saudari yang dikasihi sekalian,
Hari ini merupakan hari yang cukup bermakna dan bersejarah buat Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Bangi kerana pada hari ini, selepas majlis ini, bererti kita melangkah ke satu fasa baru. Sebelum ini, kemunculan kita di Bangi dan di institusi pengajian tinggi (IPT) masih dalam fasa menguji-nguji air atau masih melihat tindakbalas atmosfera. Namun, dalam keterbatasan itu, kita telah berjaya membina satu reputasi persatuan belia Islam yang unik. Kita telah membuktikan bahawa kita benar-benar adalah persatuan yang berjalan di atas Hamasatus syabab fi hikmatis syuyukh atau “semangat pemuda dalam bingkai kearifan orang tua” yakni kita beramal dan beraktiviti dengan penuh semangat kepemudaan dalam kerangka tarbiyyah dan irsyad mujtama’ sebagaimana yang kita dididik oleh qudama’ dan masyaikh kita.
Dalam Kecerahan Mentari
Allah SWT mengurniakan satu rahmat buat kita apabila pendaftaran PEMBINA Bangi diterima Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Ini bererti kita sudah boleh duduk semeja secara rasmi dengan pertubuhan-pertubuhan lain, terutama di Bangi. Apakah implikasinya? Dengan ini, tiada ruang untuk kita berundur. Disinilah terbit kepentingan kalimah Qudwah. Imej dan sum’ah wajihah semuanya perlu dipelihara. PEMBINA sudah menjadi representasi dakwah belia fikrah ini. Maka seharusnya setiap ahli sedar akan tanggungjawab yang dibebaninya bahawa dia telah menjadi duta kepada fikrah ini.
Dengan tertubuhnya PEMBINA, kita telah membenarkan sifat dakwah ini sebagaimana Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna katakan sebagai terang dan jelas secerah mentari siang. Amal tajmi’ kita akan lebih terpancar tanpa selindung. Promosi-promosi kita, baik sebelum mahupun selepas sesuatu program menjadi elemen penting utk menyentuh sasaran dakwah dengan lebih kuat, di samping menonjolkan lagi nama persatuan di mata masyarakat. Publisiti ini bak kata pepatah barat, laksana “Killing 2 birds with 1 stone”.
Pemimpin Di kalangan Belia
Saudara saudari yang dikasihi sekalian,
Statistik menunjukkan tidak lebih 10% siswa menyertai aktiviti berpersatuan, manakala anggaran 3% sahaja yang benar-benar berkepimpinan. Namun saya yakin, ahli-ahli dan penggerak-penggerak PEMBINA tergolong dalam 3% pemimpin tersebut yang menjadi mutiara yang menghiasai lautan belia.
Kepimpinan yang saya ingin tekankan bukanlah bererti menduduki jawatan di puncak organisasi, kerana jawatan tertinggi sudah tentu terbatas. Akan tetapi, pemimpin yang saya maksudkan adalah sebagaimana yang digambarkan Rasulullah SAW.
كُلُّكُمْ رَاعٍ ، وَكُلُّكُمْ مسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتهِ : الإمَامُ رَاعٍ وَمَسْؤولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، والرَّجُلُ رَاعٍ في أهْلِهِ وَمَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، وَالمَرْأةُ رَاعِيَةٌ في بيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْؤُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا ، وَالخَادِمُ رَاعٍ في مَالِ سَيِّدِهِ وَمَسؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ )) مُتَّفَقٌ عَلَيهِ .
“Tiap seorang dari engkau semua itu adalah pemimpin dan setiap seorang dari engkau semua itupun akan ditanya perihal orang yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin dan akan ditanya perihal pengikutnya. Seorang lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya dan akan ditanya perihal keluarganya. Seorang wanita adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal tanggungjawabnya. Seorang khadam juga adalah pemimpin dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal penjagaannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah pemimpin dan tentu akan ditanya perihal kepimpinan kamu.” (Muttafaq ‘alaih)
Setiap dari kita sudah tentu ada tanggungjawab dan ruang khusus yang perlu disumbangkan dalam penyusunan organisasi. Dgn itu, kita menjadi “mas’ul” kepada sesuatu perkara atau bidang.
Di dalam lonjakan amal ini, kita tidak mampu menanggung lagi penganggur-penganggur dalam dakwah. Setiap individu wajib mencipta atau mengeksplorasi ruang kepimpinannya, kemahirannya untuk diperhalakan kepada dakwah ilallah. Lalu dia memperkasakan lagi dirinya dan mengajak orang kepada Islam melalui kelebihannya. Ibnul Qayyim menulis dalam Al-Fawaidnya: “Tahun ibarat pohon, bulan laksana dahan, hari sebagai ranting, jam sebagai daun, dan nafas kita sebagai buahnya. Barangsiapa yang nafasnya selalu dalam ketaatan, maka orang itu telah menanam pohon yang baik”
Bagi seorang pemimpin, tiada ruang untuknya dlm keadaan “Idle” kerana takut jatuh dalam kesia-siaan. “An idle mind is the devil’s playing ground”, bak kata frasa barat. Oleh itu, saya menyeru ahli-ahli PEMBINA sekalian menjadikan diri sebagai aset dalam dakwah. Bertekadlah untuk menyumbang sebanyak mungkin, biar eksistensi kita mengesani dakwah dan masyarakat. Tidak kiralah sama ada kita dihargai atau tidak, kerana yang kita harapkan adalah kecintaan Allah SWT kpd kita. Laksana Sang Julaibib sahabat yang papa kedana, yang syahid di medan jihad, tapi lupa diambil kira oleh Sahabat lantaran ia bukan dari orang terkenal. Namun Rasulullah merasai kehilangan Julaibib lalu menemukan mayatnya dan berkata “Engkau termasuk golonganku dan aku pun termasuk golonganmu”. Kerana akhirnya persaksian amal yang kita harapkan adalah dari Allah & Rasul.
Bercita-cita Besar Mencorak Masa Depan
Saudara saudari sekalian,
Kenyataan hari ini adalah mimpi kelmarin, dan mimpi hari ini adalah kenyataan hari esok. Demikian ulas Imam Hasan Al-Banna. Kepimpinan belia hari ini bakal mencorak realiti hari esok. Kerana realiti masa kini telah pun ditentukan oleh cita-cita hari semalam. Generasi kepimpinan yang kita saksikan hari ini yang mempelopori perjalanan negara kita hari ini bukannyaovernight hero. Kalau kita selidiki sejarah hidup majoriti pemimpin, kita akan dapati karakter, stamina, dan pengaruh mereka bermula seawal zaman belia mereka. Mereka merupakan aktivis pemimpin belia. Dan mereka telah mengimpikan untuk menjadi pencorak lanskap negara, lalu mereka mendapatkannya. Sebagaimana kalimah Umar Abdul Aziz yang masyhur: “Sungguh, saya memiliki jiwa perindu. Jiwa merindukan kepimpinan maka saya mendapatkannya, merindukan khilafah maka saya meraihnya, dan sekarang jiwa itu merindukan syurga”
Sedarilah bahawa generasi belia hari ini sudah tentu akan mendewasa dan menjadi populasi dominan masa depan. Maka masa depan bagaimana yang kita kehendaki? Lakarannya perlu bermula sekarang dan usaha ke arahnya perlu bermula sekarang. Pembangunan belia harapan dan sebaran ideologi Islam untuk membina pendapat umum merupakan langkah awal untuk menjernihkan masa depan kita yang diancam dengan pelbagai anasir lain yang cuba menyubur dalam negara kita.
Sebagai pemimpin, kita harus punya banyak mimpi dan idea serta berhajat menjadi sebahagian lakaran sejarah berasaskan fikrah kita. Seorang syeikh pernah berkata: “Seorang pemimpin harus banyak bermimpi, jika tidak, dia tidak layak menjadi pemimpin”. Muhammad Ahmad Ar-Rasyid pula mengungkap kalimah hukama’ dalam risalahnya “Kita Tanggung Bersama”: “Ketahuilah kalau kaki kamu tak melangkah untuk mendapatkan sesuatu, maka tangan kamu takkan dapat mencapainya”
Aktivisme Mahasiswa yang dipelopor PEMBINA hari ini merupakan metodologi membangunkan kepimpinan dikalangan belia. Inilah jalan kita mencungkil segala potensi ahli PEMBINA, menggerakkan bakat ahli, dan memberi ruang kepada ahli utk berorganisasi dan memimpin. Inilah tuntutan semasa dan persiapan menghadapi tuntutan masa depan yang lebih mencabar agar “Rumpai-rumpai takkan mampu menghalang bahtera laut yang berlayar” seperti kata Muhammad Al-Ghazali dalam Fiqh Sirahnya.
Penutup
Oleh itu, Saudara Saudari, belia beliawanis sekalian.. Sedarilah bahawa anda mampu berperanan besar dalam sejarah kemanusiaan ini. Ayuh, serahkan dan kerahkan jiwa anda kepada perjuangan ummat ini agar kita hidup dan mati sebagai orang yang mulia disisi Allah SWT. Saya sudahi ucaptama ini dengan kalimah motivasi dari Asy-Syahid Sayyid Qutub: “Orang yang hidup bagi dirinya sendiri akan hidup sebagai orang kerdil dan mati sebagai orang kerdil. Tetapi orang yang hidup bagi orang lain, ia akan hidup sebagai orang besar dan mati sebagai orang besar”.
Sekian,
Wassalamu’alaikum wrt wbkt.