Alhamdulillah, Segala puji & kesyukuran bagi Allah SWT yg, dgn limpah & rahmatNya, mengurniakan saya cahaya mata yang kedua; anak lelaki. Hari ini merupakan hari ketujuh kelahirannya, maka menjadi sunnah untuk saya mengumumkan nama anak ini. Antara hak kepada anak yang perlu ditunaikan oleh seorang bapa, menurut Umar Al-Khattab, adalah memberikannya nama yang baik. Saya akan menamakan anak saya dengan nama yang penuh makna berdasarkan inspirasi seorang tokoh Islam dan aspirasi saya kepada anak saya ini.
Saya menamakan anak lelaki pertama saya ini bersempena seorang tokoh sahabat Rasulullah SAW yang sangat saya cintai, bahkan beliau merupakan sahabat yang paling dicintai Rasulullah SAW sendiri. Ulama’ juga mengatakan sebaik-baik manusia selepas para Anbiya’ adalah beliau. Beliau adalah Abdullah bin Uthman (Abu Quhafa’) bin Amir bin Amru bin Ka’ab bin Sa’ad bin Taim bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ai bin Ghalib bin Fihr al-Quraisy at-Taimi, atau lebih popular dengan nama kuniyyahnya, Abu Bakr.
Abu Bakr merupakan simbol atau ikon keimanan yang benar, sahabat sejati, kesetiaan mutlak, pahlawan terbilang, pemimpin bijaksana, ‘alim yang faqih, mu’min yang ‘abid lagi soleh. Abu Bakr merupakan teman setia Rasulullah, pendamping Rasulullah dalam perjalanan hijrah baginda yang sukar. Beliau juga antara sahabat yang paling banyak menginfakkan harta untuk Islam. Rasulullah pernah berkata sekiranya baginda boleh mengambil khalil selain Allah, baginda akan memilih Abu Bakr. Abu Bakr merupakan salah seorang yang dikhabarkan Syurga oleh Rasulullah dan merupakan Khalifah Islam yang pertama selepas kewafatan Rasulullah. Membaca kisah-kisah mengenai Abu Bakr, mendengar puisi-puisi atau lagu-lagu mengenai beliau, bagi saya, mampu sahaja memberi inspirasi, menggerakkan jiwa, membangkitkan semangat, membasahkan hati, bahkan boleh menitiskan air mata.
Atas sebab kecintaan saya pada Abu Bakr, saya ingin menamakan anak saya bersempena sahabat yang agung ini. Saya menamakan anak saya dengan satu nama gelaran yang diberikan kepada Abu Bakr, iaitu nama ‘Atiq, yang bermaksud yang terpelihara/bebas. Amr Khaled mengatakan ada beberapa sebab nama tersebut dikurniakan kepada beliau. Yang pertama, adalah kerana Rasullullah pernah menyebut kepada para sahabat bahawa sesiapa yang ingin melihat seseorang yang Allah bebaskan dari api neraka lihatlah kepada Abu Bakr. Diriwayatkan juga bahawa Nabi pernah mengatakan kepada Abu Bakr: “..kamu dibebaskan Allah dari neraka”. Ada juga pendapat yang mengatakan julukan tersebut diberi kerana wajahnya yang kemas dan tampan. Ada juga yang berpendapat gelaran tersebut diberi kerana Abu Bakr membebaskan ramai hamba. Ada juga yang mengatakan gelaran tersebut diberi kerana akhlaknya yang indah. Atiq juga membawa maksud khazanah lama yang sangat bernilai, sebagaimana terpeliharanya akhlak Abu Bakr. Jadi salah satu nama gelaran Abu Bakr adalah Atiq dan beliau turut menggunakan nama tersebut dalam perutusannya kepada tentera Muslimin sewaktu beliau menjadi Khalifah.
“Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang. Dari Hamba Allah, ‘Atiq ibn Abu Quhafa kepada Khalid ibn Al-Waleed. Assalamu’alaikum…” (perutusan khalifah kepada tentera Islam di Hira)
Saya juga ingin memetik satu lagi gelaran Abu Bakr yg dikenali umum, yakni As-Siddiq. Beliau dikurniakan gelaran tersebut kerana keyakinan dan keimanan beliau yang tak berbelah bahagi. Dalam riwayat yang popular, Abu Bakr mendapat gelaran As-Siddiq selepas ditanya oleh golongan yang ragu mengenai perjalanan Isra’ & Mi’raj Nabi terutama perjalanan Nabi dari Makkah ke Baitul Maqdis (Palestin) dan ke Makkah semula dalam satu malam. Namun, Abu Bakr merupakan orang yang terutama membenarkan Rasulullah lalu digelar As-Siddiq.
Dengan itu saya mengurniakan nama yang penuh makna dan harapan ini buat anak lelaki pertama saya. Saya berdoa beliau akan mewarisi sifat-sifat mulia dan ketokohan Abu Bakr dan menjadi pewaris perjuangan Rasulullah SAW, mengangkasakan izzah Islam, dan menjadi anak soleh yang memberi manfaat kepada kedua ibubapanya. Saudara & Saudari sekalian, saya perkenalkan anak lelaki saya: عتيق الصديق (Atiq Assiddiq). Semoga beliau akan berbangga dengan nama ini dan memikul segala harapan yang saya letakkan ke atas beliau.
Sekian,
أبو عتيق
Rujukan:
1) Amr Khaled, “Abu Bakr”, http://amrkhaled.net
2) Dr. Ali Laban, “Modul Pembangunan Insan: Asas-Asas Islam”, 2007
3) Lieutenant-General A.I. Akram, “Sword of Allah”, 1969
Related Links: Bidadari Besi
Burika laka fil mahbub,
wa syakarta al-wahib,
wa ruziqta birrahu,
wa balagha asyuddahu.
Semoga Atiq As-Siddiq membesar dengan keazaman Abu Bakar as-Siddiq, laju dalam menyampaikan, benar dalam penyampaian. amin.
(^_^)