Figure 1: Satu babak dalam perjuangan
Penulis: Lufti Abbas Bidin
Debut:
Majlis Penutupan Muaskar 2006
Burra Creek, S.A.
————————————————————
Warna-warna indah dunia,
Yang menyinar dan mewangi;
Sering kali saja menggoda,
Sering kali saja diingini.
Aku hanya insan biasa,
Di alam sementara ini;
Ada sedih ada gembira,
Ada nafsu ada hati.
Aku bukan sempurna,
Ku akui kelemahan diri;
Masa lampauku ada nista,
Yang ku sesali hingga kini.
Namun dunia yang lara,
Dan hati kecil ini;
Serta hari semalam penuh dosa,
Biar ku berserah pada Ilahi.
Yang ditinggalkan biarlah,
Yang diidamkan nantilah,
Yang disedihkan pasrahlah,
Yang dikurniakan syukurilah,
Yang lepas bertaubatlah,
Yang kini beristighfarlah,
Kerana di kala ini,
Ada jahiliyyah yang beraja,
Ada fitnah tak terurai;
Ada perhambaan sesama manusia,
Ada perjuangan belum selesai.
Kan ku tegakkan kalimah-Nya,
Sebagai khalifah di muka bumi;
Biar aku korbankan dunia,
Untuk akhirat yang hakiki.
Kan ku istiqamah di jalan-Nya,
Sebagai suatu janji yang pasti;
Biar aku korbankan gembira,
Untuk mengecap syurga firdausi.
Kan ku perangi musuh-musuh-Nya,
Bagai batu bata tersusun rapi;
Mudah-mudahan terampun dosa,
Moga mengecap redha Ilahi.
Kini dunia yang diinfakkan,
Dan hati yang mengerti;
Serta noda lama buat pengajaran,
Guna menegak Al-Haq yang suci.
Yang ditinggalkan ada yang lebih baik,
Yang diidamkan ada yang lebih molek,
Yang disedihkan hanyalah di dunia,
Yang dikurniakan hanyalah yang fana,
Yang lepas pintu taubat terbuka,
Yang kini mujahadah sentiasa,
Maka di fajar ini,
Ku tadah tangan pohon keampunan,
Mengucap syukur atas kenikmatan;
Di bahuku terasa tiada beban,
Dalam perjuangan ku temui kedamaian.
jazakallah ya akhi…sama2 terus berada dalam kedamaian itu..nice entry…
jazakallah sheikh.. moga berjumpa di malaysia kelak!!